Wednesday, October 7, 2009

Pedang Islam "Masyitah"


Assalamualaikum,

Masyitah bukan nama asing bagi setiap daripada kita. Sejak kecil, biasanya kisah Masyitah telahpun hadir dalam diari harian kehidupan kita, mungkin kerana ajaibnya kisahnya terutama lantaran bayinya yang boleh berkata-kata.

Masyitah merupakan seorang pelayan di istana Firaun. Sepertimana Asiah, Masyitah turut menyembunyikan pegangan agamanya yang menyembah Allah yang Maha Esa.

Namun, tak semua rahsia akan kekal sebagai rahsia. Ketika Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada anak kepada Firaun, sikat itu terjatuh dan spontan, lidah mulianya menyebut kalimah 'Allah'.

Itu menyebabkan anak kepada Firaun itu menjadi hairan dan mendesak Masyitah memberitahunya tentang apa yang dia sebutkan sebagai 'Allah' itu, namun Masyitah tetap cuba merahsiakannya. Anak kepada Firaun tetap tidak berpuas hati. Didesaknya lagi Masyitah sehingga Masyitah akhirnya mengakui bahawa Allah adalah Rabb-Nya (tuhan-Nya). Anak kepada Firaun tidak menunggu lama. Dia terus menyampaikan hal itu kepada ayahnya Firaun.

Lantas, keluarga Masyitah yang terdiri daripada suami, anak-anaknya dan diri Masyitah sendiri dipanggil menghadap Firaun. Keseluruhan keluarganya telah pun memeluk Islam rupanya. Ini menyebabkan kemarahan Firaun semakin tak tertala lagi.

Lalu, Firaun memerintahkan Hamman untuk menyiksa Masyitah seisi keluarganya. Kawah besar berisi air yang panas mendidih pun disediakan. Hamman mendesak Masyitah dan suaminya kembali kepada penyembahan terhadap Firaun, namun iman mereka tidak mudah dijual beli.

Akhirnya satu demi satu jasad-jasad mulia itu dicampakkan ke dalam kawah mendidih. Namun, iman Masyitah tetap unggul, tetap kukuh.

Yang tinggal kini hanyalah dia dan bayinya yang masih kecil. Lumrah si ibu, hatinya tetap akan terusik, melihat bayi yang dikandungnya bakal terbunuh di tangan si kuffar.

Namun, haruman syuhada telahpun membelai jiwanya. Keteguhan jiwanya tetap utuh menunjang kekuatannya. Sembari, Allah yang Maha Kuasa tak pernah sedetik pun meninggalkan hamba-hamba-Nya. Lalu, dengan izin-Nya, berkata-katalah bayi kecil itu sebagai karomah dari Tuhan-Nya.

"Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".

Terketuk jiwa si ibu mendengar 'nasihat peneguh jiwa' yang keluar dari bibir comel bayinya itu. Langkah Masyitah diatur kemas, Dia pun meneguhkan imannya untuk terkorban di dunia demi mengecap impian Firdausi. Lantas kawah mendidih menjadi tempat nafasnya berakhir. Jasadnya dan jasadnya ahli keluarga 'direbus' hidup-hidup, namun rohnya telahpun bermastautin di sekitar Arasy Allah sebagaimana rohnya para syuhada lainnya.

Itulah kisah sebilah pedang daripada pedang-pedang Islam. Mereka menebus syurga dengan dunia mereka. Dan bagaimana pula dengan kita?

Kisah ini ana coretkan dengan linangan air mata. Masyitah seorang Mukminah, bukannya Mukminin. Namun, pengorbanannya terlalu besar sehinggakan bukan semua Mukminin dapat melakukan yang serupa seperti dengannya. Ini yang membuatkan ana mengalirkan air mata, menyesali kelemahan diri yang terasa kerdil, begitu kerdil dihadapan 'muslimah besi' seperti Masyitah ini.

Dan, mampukah diri ini untuk menjejak muslimah sebagaimana Masyitah?

Ana selalu tertanya-tanya, akan adakah lagi wanita seperti Masyitah...
Seorang Muslimah yang mengimpikan syahid...
Seorang Muslimah yang tidak kesal jika suaminya tertahan di balik jeriji besi lantaran memperjuangkan Islam...
Seorang Muslimah yang tidak pernah gentar ditinggalkan suaminya yang pergi menyambut panggilan Jihad...
Seorang Muslimah yang tidak akan pernah 'kelelahan' bila berjauhan dari bonda dan ayahandanya yang tercinta demi berada dekat dengan perjuangan suaminya...
Seorang Muslimah yang hatinya dipenuhi jiwa perjuangan yang menggunung...
yang melangit...
hingga kuffar pun gentar, walaupun jasad itu hanyalah milik seseorang yang bernama Muslimah...
Seorang Muslimah yang hatinya, selalu berfikir tentang ummah dan upaya untuk meletakkan Islam kembali kepada singgahsananya semula...
Akan adakah lagi muslimah seperti Masyitah...
Bungkam. Monolog. Bungkam.


No comments:

Post a Comment